Vision Board: Satu kaedah dalam mencapai matlamat kewangan.

Apakah Vision Board?

Aku mula mengenal perkataan Vision Board ini dalam buku The Secret yang ditulis oleh Rhonda Byrne. Dalam buku ini secara ringkasnya yang aku faham (sebab buku ini bukan ditulis dalam bahasa ibunda aku), jika kita ingin mencapai sesuatu, kita tidak boleh terlupa apa yang kita ingin capai itu. Perkara yang dikehendaki itu mestilah sentiasa berada dalam kepala, sehingga menjadi sebati dengan jiwa, dihadam oleh minda separa sedar.

Hebat sangat bunyinya.

Aku mudahkan. Vision Board ini merupakan peringatan kepada matlamat, sasaran, atau cita-cita. Di atasnya tertulis dengan jelas matlamat tersebut, seboleh-boleh lengkap dengan datelinenya sekali. Jadi, setiap kali memandang kepada vision board ini kita akan teringat sasaran kita, Apabila kita patah semangat, sasaran ini akan kembali mengingatkan kita bahawa hidup perlu diteruskan, usaha perlu dilipat ganda. Dalam ayat yang lebih mudah; Jangan Putus Asa.

Bagaimana hendak membuat Vision Board?

Vision Board ialah sebuat konsep yang tidak menetapkan format tertentu. Wallpaper sebuah telefon pintar juga boleh dijadikan Vision Board. Sebagai contoh, jika aku teringin sebuah kereta mewah. Teringin di disini bermaksud bebetul-betul mahu dan mempunyai perancangan (walaupun belum diperincikan) untuk menjadikannya kenyataan. Katakanlah, aku menjadikan sasaran untuk memiliki kereta mewah ini dalam masa dua tahun dari sekarang.

Lalu aku jadikan gambar kereta ini sebagai wallpaper. Bukan sekadar gambar yang sebarangan, seboleh-bolehnya gambar terperinci yang dapat mewujudkan perasaan seolah-olah kereta itu sudah menjadi milik aku. Warna kereta itu warna pilihan aku, kalau boleh siap dengan nombor pendaftaran yang aku harapkan.

Setiap kali aku melihat wallpaper ini aku akan diingatkan untuk berjimat, menabung, dan mendalami apa sahaja berkaitan kereta itu. Vision Board ini membantu aku sentiasa berfikir dan mengambil tahu tentangnya.

Tapi, Vision Board tidak terhad di situ.

Macam Mana Nak Buat Vision Board

Bentuknya bebas. Mungkin Aku boleh membeli sebuah papan putih atau kad manila, dan menampal gambar kereta itu di atasnya. Kemudia aku tampal lagi segala detail yang aku boleh perolehi, contohnya, harga, spesifikasi enjin, jadual menyimpan yang membolehkan bayaran muka bagi membeli kereta itu. Dalam menyediakan vision board, lebih terperinci, lebih bagus untuk membantu kita fokus mencapai impian itu. Papapn putih atau kad manila tadi boleh ditampal dengan segala maklumat sehinggakan kedai yang menjual kereta tersebut.

Bebaskan diri dan cuba hasilkan sesuatu yang unik dan tersendiri untuk membuat sebuah Vision Board yang menarik.

Vision Board tidak sama dengan diari yang perlu disorok. Ianya perlu diletakkan di tempat yang mudah dan sentiasa kita boleh lihat. Contoh yang sesuai, berhampiran cermin, di bilik tidur, atau di ruang kita selalu berada. Ada juga pendapat yang menyatakan tempat terbaik ialah di ruang tidur kerana ia akan menjadi perkara terakhir yang kita lihat sebelum tidur. Perkara terakhir yang dilihat sebelum tidur ini biasanya akan diserap oleh minda separa sedar. Apa sahaja yang diproses oleh minda separa sedar akan membuatkan kita membuat keputusan yang sejajar dengan apa yang ada dalam minda separa sedar itu.

Aku bukan ahli psikologi, aku tidak dapat mengesahkan kebenaran kenyataan itu.

Istilah Vision Board ini juga banyak digunakan oleh pakar motivasi, termasuk pakar motivasi tempatan seperti Dr Azizan Osman yang turut disebut oleh  Ustaz Mohammad Ashraff Ayub dalam bukunya yang bertajuk 21 Formula Hidup Luar Biasa. JAdi aku simpulkan Vision Board adalah satu kaedah menguatkan diri untuk mencapai cita-cita.

Apa yang boleh diletakkan di atas Vision Board?

Jawapan yang mudah, apa-apa sahaja yang berkaitan dengan hidup kita dan ingin dicapai. Bagi tujuan peribadi, mungkin rumah idaman, kenderaan idaman, ataupun tempat yang kita teringin sangat untuk pergi bercuti.

Bagi tujuan kerjaya mungkin boleh diletakkan sasaran jualan, sasaran follow-up prospect, berapa temujanji dengan pelanggan atau sebagainya. Bagi pelajar, mungkin boleh letakkan markah sasaran atau gred yang diinginkan. Semuanya berbeza mengikut hasrat dan keperluan masing-masing.

Setiap yang dinaikkan ke atas Vision Board boleh diturunkan. Sebaik-baiknya diturunkan setelah dicapai, memberi ruang kepada sasaran baharu. Jika banyak yang telah dicapai, kerap pula sasaran ditukar dan dicapai, secara tidak langsung ia akan memberikan kita semangat dan momentum untuk berusaha dengan lebih keras. Mungkinkah sebab itu orang dahulu menggantung gambar ka’abah di dalam rumah? Sesuah mana mereka, berjaya juga ke tanah suci. Itu juga salah satu bentuk Vision Board.

Vison Board boleh dijadikan kompleks, atau dijadikan semudah-mudahnya. Sebagai contoh, Teme Abdullah dalam bukunya Arkitek Jalanan menulis, ketika beliau mula tiba di kota London, dia menulis sepotong ayat di dinding rumah sewanya yang tidak dipadamkan sehingga beliau berjaya menamatkan pengajiannya. Ayat yang memberikan semangat dan mengingatkan tjuannya merantau mencari ilmu di bumi orang.

Itu juga vision board, dalam bentuk yang paling mudah. Sasaran di tempat yang mudah dan selalu dilihat.

Nak tahu apa ayatnya, boleh dapatkan buku beliau.

Jadi, sedia untuk mulakan Vision Board sendiri?

Mulakan dengan bentuk yang ringkas dan kecil, jangan malu jika tidak tercapai apa yang ada di dalamnya jika telah berusaha. Tapi malulah kepada diri sendiri jika meletakkan sesuatu, tapi kita langsung tidak berusaha ke arah itu. Mungkin ada orang lain yang akan terlihat dan bertanya tentang Vision Board yang kita bina. Jangan marah, jangan segan. Terangkan dengan penuh bersemangat, kerana sebenarnya, bukan kepada dia kita terangkan. Tetapi kita sebenarnya sedang meyakinkan diri sendiri tentap setiap sasaran yang kita letakkan di situ.

Jadikan Vision Board sebagai satu anchor point untuk menetapkan matlamat kita, mengingatkan tujuan kita dan memberi semangat kepada kita dalam mengejar impian. Mulakan satu, dalam apa sahaja bentuk yang sesuai dan mudah untuk diri masing-masing.